MIRI, 21 Ogos: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyasarkan untuk memberi bantuan Bakul Rahmah kepada 130 000 ketua isi rumah (KIR) golongan miskin tegar.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, setakat ini sekitar 100 000 Bakul Rahmah telah diedarkan di seluruh negara sejak inisiatif berkenaan dilancarkan awal tahun ini.
“Saya yakin sebelum hujung tahun, kita akan dapat mencapai matlamat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Penyerahan Bakul Rahmah di Kolej Komuniti Miri di sini hari ini.
Sementara itu, Fuziah berkata, selain KIR miskin tegar, golongan pelajar juga perlu diberi bantuan memandangkan mereka juga terkesan dengan isu kos sara hidup.
“Ini kerana elaun yang diterima sedikit, duduk jauh dari keluarga, menyewa dan sebagainya.
“Oleh itu, ini merupakan antara inisiatif yang dilancarkan kementerian untuk membantu pelajar di Kolej Komuniti Miri,” ujarnya.
Sebanyak 60 pelajar kolej itu menerima bantuan Bakul Rahmah bernilai RM5,000 keseluruhan hasil sumbangan Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM), Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Shell Miri, Palmer Sdn Bhd, Upmills Sdn Bhd, Everise Supermarket dan Pioneer Trading Sdn Bhd.
Setiap bakul mengandungi barangan keperluan asas antaranya lima kilogram (kg) beras, minyak masak seberat dua kg, biskut dan sardin dengan nilai lebih kurang RM83. -TVS