ALOR SETAR, 21 Ogos: Sindiket pemburuan haram hidupan liar yang aktif di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik sejak 10 tahun lalu tumpas selepas enam individu diberkas menerusi serbuan bermula Jumaat lalu hingga semalam.
Individu berusia antara 40 hingga 63 tahun itu ditahan oleh pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang melakukan Ops Hunter.
Operasi di Kampung Landai, Kampung Belantek, Kampung Galau dan Kampung Kota Aur itu turut disertai Wildlife Crime Bureau (WCB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) Ulu Kinta, Perak.
Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, serbuan berkenaan dibuat ke atas rumah suspek dan merampas pelbagai bahagian anggota badan, rangka dan daging sejuk beku beberapa haiwan terancam bernilai RM103,350.
Ujarnya, antara yang dirampas adalah bahagian kepala, kaki, kulit, tulang dan daging haiwan seperti kijang, rusa sambar, pelanduk, burung murai, tiong mas serta ruak-ruak bersama peralatan memburu seperti senjata api buatan sendiri dan busur.
“Difahamkan daging pelanduk dijual antara RM100 hingga RM200 setiap kilogram, manalala daging rusa mendapat sambutan ketika musim perayaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Anak Bukit di sini hari ini.
Jamalul Nasir berkata, sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak 10 tahun lalu tersebut didapati mewujudkan kumpulan media sosial WhatsApp bagi melakukan aktiviti jual beli haiwan berkenaan kepada ahli atau kenalan yang dipercayai.
Ujar beliau kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 serta Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – TVS