LIMBANG, 21 Ogos: Anak warga emas yang masih hilang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Ulak, di sini, berharap ayahnya, Sahari Mail, 66, dapat pulang segera dan ditemukan dengan selamat.
Anisah Sahari, 36, ketika dihubungi TVS hari ini berkata, ayahnya berkemungkinan sesat di kawasan darat selepas kali terakhir dilihat pada jam 8 pagi Khamis lalu sebelum keluar ke kebunnya.
“Saya percaya ayah masih hidup dan dapat pulang dan ditemukan dengan selamat,” katanya.
Jelas anak sulung daripada sembilan adik beradik itu, ayahnya tidak menunjukkan perubahan ataupun tingkah laku aneh sebelum hilang sejak lima hari lalu.
“Ayah sempat memberitahu kepada kami dan ibu, dia tidak mahu membawa telefon bimbitnya ke kebun kerana hampir kehabisan bateri dan meninggalkannya di rumah,” ujar lagi.
Mengulas lanjut katanya, ayahnya merupakan imam di surau kampungnya dan pernah menjuarai pertandingan tilawah al-Quran peringkat Limbang sebelum ini.
“Ayah memang minat menonton pertandingan mengaji di telefonnya,” katanya lagi.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, bomba, pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung dilancarkan sejak Jumaat lepas, pencarian dipecahkan kepada dua pasukan di kawasan darat dan sungai.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, operasi SAR hari ini belum menemui sebarang petunjuk baharu.
Berdasarkan kronologi kes mangsa, kali terakhir dilihat pada jam 8.30 pagi Khamis lepas memakai baju bewarna biru dan seluar panjang berwarna coklat serta berkasut sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah. – TVS