Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Vaksinasi Harian Catat Rekod Tertinggi Semalam, Hampir Capai Sasaran 200,000 Sehari

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi semalam, dengan pemberian 197,963 dos sekali gus menghampiri sasaran vaksinasi harian yang ditetapkan kerajaan iaitu 200,000 dos sehari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian di Twitter berkata daripada jumlah itu, seramai 142,890 individu menerima dos pertama manakala 55,073 individu menerima dos kedua.

Beliau berkata, seramai 1,413,039 individu telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dan seramai 3,275,194 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 4,688,233.

Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 180,605 diikuti Sarawak (159,920); Johor (135,621); Perak (135,435) dan Kuala Lumpur (127,174).

Sementara itu, berdasarkan perkongsian laporan harian jumlah pendaftaran kumulatif vaksin, Dr Adham berkata seramai 13,811,642 pendaftaran direkodkan semalam, dengan perkembangan nasional sebanyak 59 peratus.

Selangor menjadi negeri tertinggi yang merekodkan jumlah pendaftaran iaitu sebanyak 3,510,783 diikuti Johor (1,723,619), Sarawak (1,321,651) dan Kuala Lumpur (1,167,136).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 sehari bermula Julai ini, dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan