KUCHING, 19 Ogos: Remaja yang terlanjur dan hamil diminta supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru membuang bayi, sebaliknya dinasihatkan mendapatkan khidmat bantuan dan nasihat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWKM).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, bayi luar nikah tidak seharusnya dibuang, tetapi perlu diselamatkan dan diberi perlindungan sewajarnya.
“Mana-mana remaja yang mungkin menghadapi masalah sebegini usah berfikiran cetek dengan membuang bayi akibat terlanjur, dapatkan bantuan daripada mana-mana badan sokongan yang boleh membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Festival Kanak-Kanak 2023 di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.
Tambah Rosey, pihaknya telah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk membantu remaja bermasalah sedemikian.
“Kita tahu sekarang kes remaja hamil luar nikah ada. Namun mereka tidak mahukan bayi berkenaan, kepada anak-anak yang berhadapan dengan masalah begini, kita ada tempat dan membantu sebab kita ada tempat perlindungan untuk kes seperti ini daripada dibuang bayi itu, kita tidak mahu pembuangan bayi berlaku, perkara seperti ini amat menyedihkan,” tegasnya.
Pada masa yang sama, menerusi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) talian bantuan di talian 082-448866 boleh terus dihubungi untuk mendapatkan nasihat.
Kelmarin tular satu video berdurasi 14 saat menunjukkan penemuan seorang bayi perempuan tular di media sosial di tempat pembuangan sampah berdekatan sebuah pasar raya di Moyan Square, Batu Kawa, sekitar jam 7.30 pagi semalam.
Difahamkan, ketika ditemukan, bayi yang diletakkan di dalam kotak itu masih hidup. Bayi itu telah dihantar ke Klinik Kesihatan Batu Kawa untuk rawatan dan pemeriksaan.
Kini, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.-TVS