BINTULU, 18 Ogos: Seorang lelaki maut selepas lori tangki minyak yang dipandunya terbalik di Jalan Pesisir Bintulu-Sebubu dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian sekitar 6 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Azrin Sapri, 32, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan 18 anggota dari BBP Kidurong dan bantuan BBP Bintulu bergegas ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dengan muatan 10,800 minyak petrol dan 16,200 diesel terbalik di dalam semak di bahu jalan.
“Akibat itu seorang mangsa yang merupakan pemandu lori tangki berkenaan didapati tersepit di ruang tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba kemudian dibantu oleh sebuah lori kren untuk mengangkat kepala lori untuk distabilkan ke posisi yang lebih selamat untuk menjalankan operasi penyelamatan.
“Proses mengeluarkan mangsa selesai pada 9.20 pagi. Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Kamarudin berkata, pihak bomba hanya bersedia di kawasan kemalangan sementara proses pemindahan minyak dilakukan dari lori tangki yang terbalik ke lori tangki yang lain.
“Operasi berlangsung hampir tujuh jam dan ditamatkan pada 12.48 tengah hari,” katanya. -TVS