Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Wee Hong Seng menyerahkan cek sumbangan kepada Chai Ju Loon sambil disaksikan Dato Sri Dr Sim Kui Hian pada Malam Penyerahan Hadiah dan Sumbangan Amal 2023 sempena Pesta Makanan Kuching 2023 di Kuching, malam tadi. Foto: TVS.

Lebih RM48,000 sumbangan peniaga Festival Makanan Kuching diserahkan kepada 18 badan amal

KUCHING, 18 Ogos: Sebanyak 18 badan amal menerima sumbangan amal berjumlah RM48,987.80 pada Malam Penyerahan Hadiah dan Sumbangan Amal 2023 anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sempena Festival Makanan Kuching, semalam.

Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, sumbangan amal ini adalah istimewa kerana hasil sumbangan diperoleh daripada gerai-gerai jualan di Festival Makanan Kuching yang hampir tiga minggu diadakan bermula pada 28 Julai.

“Kita tidak sepatutnya mengambil mudah akan nasib rakyat yang kurang berkemampuan kerana tidak kira betapa kayanya bandar itu, pastinya ada rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya ketika berucap pada Malam Penyerahan Hadiah dan Sumbangan Amal 2023, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, beliau berharap agar lebih banyak para peniaga menyumbang pada tahun hadapan bagi mencapai keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat.

“Kuching adalah bandar yang hebat kerana di sini ramai insan yang berhati mulia. Mereka yang dalam kesukaran masih boleh mengharapkan bantuan daripada orang lain.

“Kami memberi dan menerima sama rata, supaya kita semua dapat terus hidup bersama dalam keamanan, keharmonian dan perpaduan. Saya berharap pihak berkepentingan akan menderma lebih banyak pada tahun hadapan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Penyerahan cek sumbangan kepada 18 penerima badan amal disampaikan Hong Seng kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malam Amal 2023, Kaunselor Chai Ju Loon dan disaksikan oleh Dr Sim.

Antara badan amal yang menerima sumbangan adalah The Salvation Army, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sentuhan Kasih Kuching dan Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT).

Festival Makanan Kuching kini hampir melabuhkan tirainya selepas hampir tiga minggu diadakan bermula pada 28 Julai yang lalu.

Penglibatan lebih 300 gerai yang menyediakan pelbagai makanan dan minuman ini berjaya menarik ramai pengunjung di sekitar Kuching. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan