KUCHING, 18 Ogos: Autonomi pendidikan untuk Sarawak merupakan antara agenda yang dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Putrajaya, semalam.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, turut menjadi tumpuan perbincangan ialah isu semasa yang dihadapi dalam pendidikan di Sarawak terutamanya dari segi pembangunan dan pembangunan semula projek infrastruktur sekolah.
Soal keperluan pembiayaan yang mencukupi untuk menyokong program pendidikan di Sarawak, juga dibawa untuk perhatian Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63.
“Timbalan Perdana Menteri (Fadillah) memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil bagi menangani perkara yang dibangkitkan di peringkat Persekutuan,” kata kenyataan itu yang dikongsikan dengan media menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Sagah mengetuai rombongan kementeriannya mengadakan lawatan kerja terhadap Fadillah. Rombongan itu disertai dua Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, 22 Mei yang lepas, Sagah menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak giat untuk mendapatkan autonomi pendidikan.
“Autonomi pendidikan Sarawak hanya terhad kepada Fasal 17, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang menyebut Sarawak dan Sabah diberi kuasa untuk menentukan dasar sistem pendidikannya sendiri walaupun pendidikan adalah perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Kita akan terus bekerjasama dengan Jawatankuasa MA63 untuk memperjuangkan perkara ini,” katanya yang dipetik menerusi laporan TVS. – TVS