Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun antara mangsa yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam hari ini. Foto Bernama.

Speaker DUN Pahang kongsi berita kematian Datuk Seri Johari

ByBernama

KUANTAN, 17 Ogos: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkongsi berita kematian Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun akibat nahas pesawat ringan di Shah Alam, hari ini.

Beliau yang memuat naik dua keping gambar bersama Johari di akaun rasmi Instagram miliknya mendoakan Allahyarham yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai dan Ketua UMNO Bahagian Bentong dicucuri rahmat. 

“Saya dapat berita sekitar 3 petang mengatakan ada pesawat terhempas dan ada seorang penting dari Pahang dalam pesawat itu… kemudiannya saya lihat nama Allahyarham dikaitkan sebagai salah seorang mangsa menerusi status dan gambar senarai penumpang yang tersebar di media sosial. 

“Saya membuat semakan sendiri dan mendapati benar beliau antara yang terlibat dalam nahas tersebut dan sukar untuk diterima kerana baru semalam saya dan beliau berada di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang kerana beliau menghadiri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) manakala saya di pejabat saya,” katanya semasa dihubungi. 

Berita kematian Johari juga dikongsikan oleh Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang turut menzahirkan kesedihan dengan pemergian mengejut Allahyarham di akaun media sosial miliknya.

“Saya amat bersedih dengan kehilangan ini. Baru sahaja dua hari lepas, saya bersama Datuk Seri Jo (panggilan Allahyarham) berbincang berkenaan pembangunan di Bentong dan Pelangai yang direncanakan kelak,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Polis Selangor,Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan 10 lelaki maut dengan lapan daripadanya merupakan penumpang dan kru pesawat dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.

Dua daripada  mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas. 

 Sementara itu,  Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud, dalam kenyataan, berkata pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2:08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan