KUCHING, 17 Ogos: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran supaya membangunkan lebih banyak pusat sehenti atau pusat intervensi di kawasan luar bandar, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata, ini kerana kemudahan berkenaan akan memanfaatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Kata beliau, antara yang sangat memerlukan pusat sehenti itu ialah OKU masalah pendengaran.
“Kita hendak memastikan akses meluas kepada pusat sehenti terutamanya oleh OKU di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kedai Starbucks Bahasa Isyarat Borneo Pertama di sini, hari ini.
Sementara itu Fatimah turut memuji kerjasama Starbucks Malaysia dan Persatuan Orang-orang Pekak Sarawak (SSD) yang membuka peluang kepada OKU pendengaran dengan mempromosikan kesaksamaan.
“Selain bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada OKU, kita juga mengharapkan sumbangan daripada masyarakat tempatan seperti badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan sokongan tambahan yang diperlukan mereka.
“Sebagai minoriti dalam masyarakat, orang cacat pendengaran sering menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan mereka. Ini mungkin disebabkan oleh halangan berkomunikasi dan perbezaan budaya,” tambahnya.
Justeru, beliau berharap perniagaan lain di Malaysia akan mengikuti jejak Starbucks dalam melibatkan diri dengan golongan OKU untuk mewujudkan tenaga kerja yang lebih inklusif.
“Tahniah kepada Starbucks Malaysia dan SSD kerana menjadikan pelancaran Starbucks Signing Store Kuching yang pertama di Borneo, ketiga di Malaysia dan ke-20 di dunia.
“Saya berharap usaha untuk menggalakkan keterangkuman dan kesedaran ini akan berterusan, dan semua pihak akan berganding bahu melaksanakan inisiatif sebegini,” katanya.
Sementara itu, Fatimah berkata di bawah kementerian itu, beberapa langkah untuk mendidik masyarakat berhubung bahasa isyarat dan pelbagai perkara melibatkan golongan cacat pendengaran sedang giat dilaksanakan.
“Kementerian mula melaksanakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai mata pelajaran wajib di Tadika, TASKA dan SeDidik di Sarawak,” katanya. -TVS