KUCHING, 17 Ogos: Penganjuran Festival Kreativiti dan Inovasi Islam (FesKII) 2023 yang menghimpunkan cendekiawan Islam dari dalam dan luar negara mampu menjadi platform mengetengahkan pelbagai idea pembangunan.
Sehubungan itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Majlis Perasmian Festival Kreativiti dan Inovasi (FesKII 2023) berharap penganjuran festival itu dapat dilakukan setiap dua tahun bagi memastikan negeri ini menerima tempias positif menerusi penganjurannya.
“Festival ini adalah salah satu acara yang dianjurkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam usaha untuk memastikan bahawa kita dapat mengambil bahagian secara aktif dan seterusnya memastikan bahawa kepimpinan Islam dapat mengetengahkan pelbagai idea untuk sama-sama berkongsi maklumat dengan kepimpinan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan negeri,” katanya.
FesKII 2023 yang berlangsung selama lima hari bermula 16 Ogos bertemakan ‘The Beauty of Islam’ dianjurkan bersempena dengan sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka serta ulang tahun ke-15 MIS.
Objektif program berkenaan adalah untuk menerapkan nilai kreativiti dan inovasi dalam kalangan generasi muda masa kini di samping berkongsi amalan terbaik pengurusan dan penyebaran maklumat dan keindahan Islam serta mengetengahkan kepelbagaian dan kegemilangan seni Islam di nusantara dan serantau.
Terdapat pelbagai aktiviti sampingan yang berlangsung sekitar perkarangan MIS termasuk pameran kesenian Islam, pameran artifak falak dan teleskop, simulasi haji, inovasi robotik, sukan memanah, pertandingan khat dan juga gerai mu’amalah. – TVS