KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun merupakan salah seorang penumpang pesawat ringan yang disahkan terhempas hari ini.
Menerusi Twitternya, Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara berkata, beliau berdukacita setelah menerima berita itu.
17 Ogos 2023 | Khamis
Pada petang ini, satu berita tergempar membabitkan nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam. Amat mendukacitakan apabila melibatkan seorang kawan saya, Allahyarham YB Dato' Sri Johari Harun, EXCO Pahang yang juga ADUN Pelangai di bawah Parlimen Bentong.… pic.twitter.com/e2HN3XJKl9
— Rara 🇲🇾 (@youngsyefura) August 17, 2023
“Allahyarham yang juga Exco Pahang merupakan ADUN Pelangai di bawah Parlimen Bentong.
“Saya amat bersedih dengan kehilangan ini. Baru dua hari lepas saya bersama Allahyarham berbincang mengenai pembangunan di Bentong yang akan direncanakan kelak,” tulisnya.
Rara turut berkongsi gambarnya bersama Johari.
Petang tadi, polis mengesahkan sebuah pesawat ringan terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pula memaklumkan pesawat berkenaan yang dikendalikan dua kru dan enam penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menuju ke Subang.
Setakat ini identiti mangsa lain belum disahkan. -TVS