MIRI, 17 Ogos: Kerajaan Sarawak menyediakan Dana Bantuan Pemulihan Perniagaan (BizFund) berjumlah RM20 juta untuk membantu perusahaan tempatan yang telah terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi BizFund Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), Anne Kung berkata, dana berkenaan disalurkan kepada pihaknya untuk melatih komuniti membangunkan kemahiran yang diperlukan bagi meneruskan perniagaan masing – masing.
Kata beliau, penyediaan dana berkenaan berikutan Kerajaan Sarawak bimbang banyak perniagaan berdepan masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran selepas COVID-19.
“Menerusi dana itu, kami melatih komuniti perniagaan dalam aspek kemahiran supaya mereka boleh memulakan semula perniagaan yang terjejas.
“Jadi ini merupakan salah satu usaha pemulihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak pasca COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Program Kraftangan di Jalan Lusut Jaya Miri di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif berkenaan, Anne memberitahu, setakat ini seramai 2,000 orang telah dilatih menerusi beberapa program yang dijalankan oleh pihaknya.
“SBF menyasarkan untuk melatih sehingga 3,000 orang dalam tempoh lima bulan,” katanya.
Katanya kesemua 21 persatuan yang berdaftar dengan pihaknya boleh menghantar pekerja atau ahli ke program berkenaan. -TVS