Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anggota Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengarahkan kepada penghuni bangunan untuk mengosongkan sekitar kawasan berlakunya runtuhan konkrit bumbung sebuah bangunan komersial lima tingkat di blok A Bangunan Sri Desa Entrepreneur Park di Jalan Kuchai Lama yang berlaku malam tadi. Foto Bernama.

Struktur bumbung premis lima tingkat runtuh, beberapa kenderaan rosak

ByBernama

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Beberapa kenderaan mengalami kerosakan teruk susulan sebahagian struktur bumbung di sebuah premis lima tingkat di Jalan Kuchai Lama, di sini, runtuh malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata kejadian yang berlaku pada kira-kira 10.30 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pihak bomba telah melakukan pemeriksaan di setiap tingkat dan mengesahkan tiada mangsa terlibat.

“Buat masa ini, polis dan pihak bomba terpaksa menutup premis berkenaan sebagai langkah keselamatan daripada sebarang aktiviti sehingga ia disahkan selamat.

“Punca kejadian runtuh itu juga sedang disiasat pihak bomba,” katanya ketika dihubungi tengah malam tadi.

Terdahulu, kejadian berkenaan dirakam penduduk berhampiran sebelum ia tular di Facebook.

Dalam pada itu, Amihizam berkata berdasarkan siasatan dan tinjauan pihak Perancangan Bangunan dan Infrastruktur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kumpulan IKRAM Sdn Bhd, tingkat empat bangunan premis pejabat itu tidak selamat dan masih boleh berlaku runtuhan.

“Oleh itu, tingkat satu, dua dan tiga ini kita akan benarkan penyewa mengalihkan barang-barang penting untuk dibawa keluar secara berperingkat yang akan diuruskan oleh polis,” katanya.

Sementara itu, pengurus bangunan Emily Sim, 51, berkata pemilik kenderaan yang rosak akibat runtuhan sebahagian struktur bumbung bangunan berkenaan boleh menuntut ganti rugi melalui insurans di bawah pengurusan bangunan dan perniagaan. 

“Tetapi untuk lebih cepat, mereka juga boleh menggunakan insurans kenderaan mereka sendiri di bawah insurans bagi impak kerosakan supaya lebih mudah dan tidak perlu menunggu terlalu lama,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan