MUKAH, 16 Ogos: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia setelah bertembung dengan kenderaan jenis pacuan empat roda dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 80, Jalan Sibu-Bintulu petang Selasa.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Tinggi Subeli, 45, yang berasal dari Rumah Nyipa Batu 11 1/2 Ulu Sikat Jalan Mukah-Selangau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitendan (DSP) Mohamad Rizal Alias berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan terbabit bergerak dari arah yang sama iaitu dari Bintulu.
“Siasatan awal berdasarkan keterangan saksi mendapati bahawa, kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang bergerak lurus di lorong kanan dari arah Bintulu telah berlanggar dengan sebuah motosikal yang secara tiba-tiba mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, mangsa yang bekerja sebagai pelombong arang batu di sini mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Selangau.
“Pemandu pacuan empat roda berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya” katanya.
Menurut Mohamad Rizal, keadaan di tempat kejadian merupakan jalan lurus, kering dan sistem jalan sehala hala melibatkan lima lorong ke tiga lorong dengan garisan tengah bertanda.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS