KUCHING, 16 Ogos: Tiang lampu isyarat dengan jalur LED pertama di Kuching yang terletak di persimpangan Jalan Batu Kawa dan Bazar Lama Batu Kawa telah mula beroperasi sejak Selasa.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, pencahayaan tambahan tersebut akan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
“Ia termasuk bagi mengawal kenderaan yang memandu laju di jalan utama khususnya ketika aliran trafik yang tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, semalam.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk berkongsi pendapat berkaitan penggunaan cahaya LED tersebut.
Rata-rata dalam ruangan komen memperlihatkan warga Kuching terutamanya penduduk Batu Kawa menerima baik inisiatif berkenaan.-TVS