KUCHING, 16 Ogos: Seramai 17 peninju dari kelab gabungan Persatuan Tinju Kuching (KBA) akan beraksi pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023.
President KBA, Datuk Dzulkarnaen Ahmad berkata, kesemua mereka terdiri daripada dua pasukan iaitu elite yang membariskan 10 petinju berumur 21 hingga 40 tahun.
Sarawak sasar enam emas di Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023
Katanya satu lagi pula pasukan Sukan Malaysdia (SUKMA) yang diwakili tujuh petinju berumur 16 hingga 20 tahun.
“Penglibatan wakil KBA pada kejohanan yang memasuki edisi kedua penganjuran ini merupakan usaha kami untuk membangunkan sukan tinju di Kuching.
“Ini kerana majoriti kelab tinju di sini baharu sahaja ditubuhkan dan atlet masih kurang pengalaman, jadi kita mahu memberi pendedahan kepada mereka pada kejohanan besar seperti Terbuka Sarawak 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada majlis penyerahan bendera kepada pasukan KBA yang akan bertanding pada kejohanan itu.
Mengulas lanjut, Dzulkarnaen berkata, keputusan menghantar kontinjen besar pada kejohanan itu juga merupakan sokongan kepada Sarawak mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan.
Mengenai sasaran pula, beliau berkata, persatuan berharap agar petinju mereka mampu menampilkan aksi terbaik pada pertandingan yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman itu.
Kejohanan yang membuka tirai pada 19 Ogos hingga 26 Ogos ini turut disertai wakil Terengganu, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan selain Brunei, Indonesia dan Singapura. -TVS