Kuching, 16 Ogos: Inisiatif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) memasang peralatan pemancar multi Operator Core Network (MOCN) di setiap menara telekomunikasi di Sarawak akan mempercepatkan liputan jaringan internet di seluruh negeri itu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, penyediaan MOCN sebagai peralatan telekomunikasi itu bagi memastikan syarikat telekomunikasi menggunakan hanya satu set peralatan pemancar bagi memberikan perkhidmatan kepada para pengguna.
“Pemasangan MOCN ini akan mebolehkan semua pembekal perkhidmatan telekomunikasi seperti MAXIS, CELCOM-DIGI, U-MOBILE untuk menggunakan satu menara telekomunikasi.
“Tetapi ia bergantung kepada sesiapa yang mengendalikan menara tersebut.
“Misalnya jika pihak operator yang mengendalikan menara tersebut dikendali oleh MAXIS, maka pembekal perkhidmatan telekomunikasi yang lain perlu menulis surat untuk mendapat kebenaran daripada pihak MAXIS untuk menggunakan peralatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Hab internet pertama di Pusat Teknikal MAXIS di Bintawa, Kuching, hari ini.
Bagaimanapun menurut beliau kerja pemasangan peralatan telekomunikasi di menara berkenaan akan mengambil sedikit masa sebelum beroperasi.
“Kita juga sedia maklum banyak menara dalam pembinaan sekarang.
“Kebanyakan pembinaan menara masih on going. Ada yang dah siap bukan bermakna dia on air.
“Saya difahamkan ia mengambil masa selama sembilan bulan untuk menara tersebut disiapkan .
“Manakala dalam tempoh sembilan bulan kemudian untuk siap pasang peralatan telekomunikasi di menara tersebut.
“Menara telekomunikasi tersebut sudah tentu memerlukan tenaga elektrik untuk membolehkan menara itu beroperasi,” ujarnya.
Tambah Julaihi, pendekatan platform MOCN dipilih berdasarkan kerumitan operasi dan struktur kos penggunaan telekomunikasi luar bandar.
“Jadi ada proses yang perlu dilalui oleh menara yang dipasang dengan menara telekomunikasi.
“Sebelum boleh on air saya mendapat laporan dari masa ke semasa SDEC dalam proses memasang peralatan telekomunikasi tersebut dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Untuk rekod, setakat ini terdapat 3,708 menara telekomunikasi di Sarawak telah siap daripada 7,000 pembinaan menara telekomunikasi di seluruh negeri. – TVS