MIRI, 16 Ogos: Seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar bahu jalan serta melanggar tiang elektrik di Jalan Miri- Airport malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu mengesahkan pihak menerima laporan berhubung kes itu jam 7.37 malam.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati, apabila tiba di lampu isyarat Taman Tunku mangsa telah terbabas dan melanggar bahu jalan semasa membuat pusingan U bagi menuju ke pusat bandar.
“Kesan daripada kemalangan itu motosikal mangsa kemudian melanggar tiang elektrik yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan penunggang meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada.
“Susulan daripada laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-TVS