Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Julaihi Narawi (tengah) ketika mengadakan sidang media Kongres Inovasi dan Teknologi Sedunia (WCIT) 2023 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) mulai 4 hingga 6 Oktober tahun ini di Hotel Grand Margherita, Kuching, hari ini. Foto: Lorenzo Isaac

Perdana Menteri dan Premier Sarawak dijangka hadiri WCIT 2023

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 15 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka menghadiri Kongres Inovasi dan Teknologi Sedunia (WCIT) 2023 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) mulai 4 hingga 6 Oktober tahun ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, jemputan berhubung perkara itu sudah dihantar kepada kedua-dua pihak.

“Namun kita masih belum mendapat sebarang maklum balas mengenai pengesahan kehadiran mereka. Sekiranya PM kita hadir, beliau akan merasmikan acara ini. Begitu juga dengan Premier Sarawak kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal merasmikan acara berkenaan jika beliau hadir,” katanya ketika sidang media WCIT 2023 di Hotel Grand Margherita di sini, hari ini.

Katanya lagi, Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi WCIT untuk edisi ke-27 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) untuk kali ke-6 pada tahun ini.

Dalam ucapan beliau, Julaihi berkata WCIT dan IDECS 2023 merupakan platform penting dalam meneroka pameran serta inovasi trend terkini serta kaedah terbaik untuk ekonomi digital dengan tumpuan khusus bagi memberi impak yang berpotensi kepada negeri Sarawak.

“Bertemakan ‘Inovasi dan Teknologi Mendorong Kemakmuran Ekonomi, Kemanusiaan Sosial, dan Kelestarian Alam’, Sarawak bersedia untuk bergerak ke hadapan dalam ekonomi baharu dengan berpandukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Tambahan lagi, salah satu pemboleh ubah dalam PCDS 2030 memfokuskan enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu Pembuatan, Pertanian Komersial, Pelancongan, Perhutanan, Perlombongan dan Perkhidmatan Sosial,” tambahnya.

Jelasnya, enam sektor berkenaan akan disokong tujuh pemboleh ubah iaitu Transformasi Digital, Inovasi, Infrastruktur Asas, Pengangkutan, Utiliti, Tenaga Boleh Diperbaharui, Pendidikan serta Pembangunan Modal Insan.

“Dengan ribuan pemain industri antarabangsa khususnya di Kuching, kita mempunyai platform yang luas untuk mempamerkan teknologi baharu dan infrastruktur bertaraf dunia.

“Kita juga mendapati bahawa kami berupaya untuk berfungsi sebagai hab teknologi yang cekap untuk rantau ini, dengan agenda digitalisasi bertujuan untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

“Kami telah memberi keutamaan kepada penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan digital, yang merupakan kunci untuk menyokong agenda kerajaan negeri.

“Dalam pada itu, kementerian saya telah diamanahkan untuk mengkaji teknologi baharu dalam bekalan air dan elektrik, pengagihan gas dan isu telekomunikasi, dan saya berbangga untuk memberitahu anda semua bahawa kami sentiasa meneroka kemajuan teknologi baharu dalam usaha kami, banyak daripadanya telah berjaya dilaksanakan,” ujarnya.

Untuk makluman, WCIT tahun ini akan menampilkan topik utama seperti kecerdasan buatan, bandar pintar, keselamatan siber, Internet Perkara (IoT), telekomunikasi 5G, teknologi angkasa dan sebagainya.

Acara tersebut turut mempamerkan penemuan teknologi baharu serta mesyuarat perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan penyampaian Anugerah Inovasi Global dan Kecemerlangan Teknologi WITSA.

Sehubungan itu, dalam usaha memperkasa golongan wanita dalam bidang teknologi maklumat, pra acara Forum Asia She-Tech 2023 yang julung kali bakal diadakan pada 3 Oktober sebelum WCIT dan IDECS membuka tirai pada 4 Oktober.

Usaha itu bertujuan untuk merapatkan jurang antara jantina dalam bidang teknologi dengan melengkapkan golongan wanita dengan kebolehan dan kemahiran yang bersesuaian bagi mengisi pelbagai jawatan penting.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang; Timbalan pengerusi bersama WCIT Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Pengerusi Perikatan Inovasi, Teknologi dan Perkhidmatan Dunia (WITSA) Dr Sean Seah; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Jafri Lias dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Sudarnoto Osman. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan