KUCHING, 15 Ogos: Sambutan Ulang Tahun Sarawak Merdeka dalam skala besar wajar dipertimbangkan untuk diadakan setiap lima tahun, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Cadangan sedemikian menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berikutan mengambil kira kos perbelanjaan yang tinggi untuk menganjurkan acara berkenaan merupakan kekangan ia diadakan setiap tahun.
Tegas beliau adalah tidak mustahil acara mega itu untuk diadakan dalam tempoh berselang sekurang-kurangnya lima tahun.
“Apabila melihat penganjuran sambutan ulang tahun ke-60, kosnya besar sekali, saya tidak rasa kita dapat mengadakannya (secara besar-besaran) setiap tahun tetapi amat baik jika ia dapat diadakan setiap lima tahun sekali.
“Ini kerana kita mahu membangkitkan perasaan teruja dan semangat itu kembali,” katanya semasa berucap pada Malam Apresiasi MYSED Sempena Perayaan 60 Tahun Kemerdekaan Sarawak di Hotel Grand Margherita di sini pada Isnin.
Menurutnya, penganjuran acara memberi peluang ekonomi kepada semua pemain industri pelancongan dan perniagaan.
Bahkan untuk penganjuran Konvoi Kembara Sarawak Merdeka sahaja telah berjaya memberi impak positif kepada jumlah keseluruhan jualan usahawan di Sarawak iaitu RM1.08 juta.
Beliau mengakui menerima maklum balas daripada rakyat agar acara besar yang dianjurkan di Sarawak dapat terus dilaksanakan setiap tahun bagi memberikan suntikan ekonomi kepada para peniaga.
“Di mana sahaja ada kemeriahan sambutan yang diadakan ia akan beri kesan positif kepada gerai makan, tempat penginapan tidak kira hotel bajet atau bertaraf bintang, semuanya dipenuhi oleh pelanggan.
“Secara langsung atau tidak langsung ia memberikan kitaran ekonomi kepada sektor perkhidmatan, hospitaliti, hotel, inap desa bukan sahaja di bandar utama tetapi di seluruh Sarawak,” katanya.
Majlis turut menyaksikan Abdul Karim yang merupakan menteri bertanggungjawab bagi Sambutan Sarawak Merdeka Ke-60 menzahirkan penghargaaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perayaan itu berjalan lancar. -TVS