KUCHING, 14 Ogos: Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2023 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM250,000.
Sejak tahun 2015, Kerajaan Sarawak telah menjadi penaja utama penganjuran, selain barisan penaja emas, Petronas, Shell dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menyumbang RM50,000 masing-masing.
Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA), Andy Jong Wan Joon bersama rombongan delegasinya telah mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
“Kunjungan ini antara lain bertujuan menjemput Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat bagi menyempurnakan dan seterusnya menyampaikan Anugerah Premier Sarawak sempena Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2023 yang dijadualkan pada 24 November 2023 di Hotel Pullman, Miri.
“Abang Johari telah menyerahkan cek berjumlah RM100,000, sumbangan Kerajaan Sarawak kepada FSJA untuk menjayakan majlis anugerah tersebut pada tahun 2023, begitu juga dengan tiga penaja emas kita, Petronas, Shell dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang masing-masing menyumbang RM50,000,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan di Wisma Bapa Malaysia.
Menurut Andy, penyertaan KJA 2022 telah dibuka pada 16 Julai lalu bagi penerbitan sehingga 31 Ogos ini.
“Penyertaan KJA telah dibuka pada 16 Julai lalu dan tarikh tutup ialah pada 8 September depan. Setiap peserta boleh menghantar maksimum empat penyertaan termasuk perseorangan atau berkumpulan untuk dipertandingkan,” katanya.
Sebanyak 11 kategori kekal dipertandingkan dalam KJA 2023 antaranya, Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti, Anugerah Laporan Kelestarian dan Anugerah Laporan Ekonomi dan Perniagaan.
Kategori lain termasuk Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Penulisan Berita), Anugerah Laporan Berita, Anugerah Berita Sukan, Anugerah Ekonomi Digital, Anugerah Kewartawanan Penyiaran, Anugerah Kewartawanan Foto, Anugerah Esei Foto dan Anugerah Premier Sarawak. -TVS