KUCHING, 14 Ogos: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM8 bilion bagi permulaan pelaksanaan Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak (SSWF) berkuatkuasa pada 1 Januari 2024.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana akan diuruskan dengan ketat mengikut dasar pelaburan dan mandat dana, iaitu untuk menyampaikan pertumbuhan sebenar jangka panjang seimbang risiko dalam aset yang dilaburkannya.
https://staging.tvsarawak.my/2023/08/14/tan-sri-sulong-matjeraie-ketuai-ahli-lembaga-sswf/
“Akaun Kumpulan Wang dan aktiviti laporan tahunan akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan bajet tahunannya akan diluluskan oleh Kabinet Negeri,” katanya ketika berucap pada sidang media Ahli Lembaga SSWF di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Ditanya mengenai pelantikan Ahli Lembaga SSWF, beliau berkata, pelantikan itu adalah selama tiga tahun bagi setiap penggal.
“Penjaga dana bakal diuruskan secara profesional dan telus oleh Lembaga Penjaga yang terdiri daripada pakar dan profesional dalam bidang kewangan, pelaburan, perundangan dan pentadbiran,” katanya.
Pelantikan sembilan Ahli Lembaga SSWF menyaksikan Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie sebagai Pengerusi yang telah diluluskan oleh Kabinet Negeri pada 27 Julai lalu.
Beliau merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman pada 2012 dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman Undang-undang dan Kehakiman.
Sebelum kerjayanya dalam bidang kehakiman, beliau telah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri selama 17 tahun dalam pelbagai jawatan kepimpinan. – TVS