Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dari kiri (kedua) Timbalan Presiden Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) Wan Idris Wan Ibrahim, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA&A) Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa Mohamadin, Pro-Canselor UiTM Datuk Hj. Abdul Wahab Aziz, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof. Dato Hj. Jamil Hj. Hamali dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof. Madya Dr Saimi Bujang memegang poster aktiviti utama sambutan ulang tahun 50 Tahun Jubli Emas UiTM Cawangan Sarawak

UiTM Sarawak lahir 37,761 graduan dalam tempoh 50 tahun

ByMuqri Aziz

KUCHING, 13 Ogos: Sejak penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak 50 tahun lalu, universiti ini berjaya melahirkan seramai 37,761 graduan.

Rektornya, Prof Datuk Dr Jamil Hamali berkata, bermula dengan hanya 94 orang pelajar ketika kampus pertama dibuka di Batu Lintang pada 1 Julai 1973, universiti berkenaan terus mengorak langkah melaksanakan fungsinya.

Kata beliau, jumlah alumni UiTM Cawangan Sarawak juga sebenarnya melebihi jumlah berkenaan kerana graduan kumpulan awal yang memulakan pengajian mereka gagal direkodkan.

“Saya berasa bangga kerana ramai alumni UiTM kini telah menjadi sebahagian daripada pembuat polisi serta menduduki jawatan tertinggi sama ada di kementerian atau agensi kerajaan, bukan sahaja di Sarawak malah di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 UiTM Cawangan Sarawak dan Majlis Sepetang Bersama Pro Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz di sini hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA) UiTM, Prof Madya Dr Mohammad Isa Mohamadin memaklumkan beberapa kursus baharu akan diperkenalkan sekali gus menjadikan cawangan itu sebagai kampus yang menawarkan kursus paling.

“Pada tahun hadapan kita akan memulakan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Pengurusan Fasiliti) dan beberapa program Sarjana Muda dalam bidang teknologi dan inovasi makanan, Revolusi Industri (IR) 4.0 dan pengurusan rekod serta Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat,” katanya.

Bagi meraikan Sambutan Jubli Emas Tahun Ke-50 UiTM Cawangan Sarawak pula, Jamil memberitahu, empat aktiviti utama akan dilaksanakan iaitu Auto Rally Borneo yang bermula dari UiTM Cawangan Sarawak ke UiTM Cawangan Sabah, Alumni Charity Golf, Homecoming Dinner UiTM Cawangan Sarawak dan UiTM Alumni Fun Run “Rindok Berekot”.

“Kesemua dana yang dikutip akan dimasukkan dalam Tabung Sri Kenyalang bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan