KUCHING, 12 Ogos: Selepas diiktiraf sebagai Creative City of Gastronomi (Rangkaian Bandar Kreatif), bandar raya ini berpotensi dijadikan sebagai City of Festival, kata Datuk Snowdan Lawan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak meluahkan hasrat berkenaan berikutan kejayaan penganjuran pelbagai acara muzik dan festival di sini pada tahun ini.
“Apa yang lebih istimewa ialah kerana kita sedang menyambut Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
“Jadi, saya rasa selepas diiktiraf sebagai ‘City of Gastronomy’ pada 2021 oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), ‘City of Unity’ pada 2015, Kuching juga boleh dijadikan sebagai ‘City of Festival,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertunjukan Malam Gala Festival Tari Antarabangsa Kuching Ke-6 anjuran Persatuan Guru-Guru Tarian dan Seni, Kuching di Muzium Budaya Borneo, Kuching pada Sabtu.
Pada masa sama, Snowdan memberitahu Pusat Seni Persembahan Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lama bernilai RM250 juta itu dijangka siap selewat-lewatnya pada 2026.
“Saya berharap apabila ia kelak, pelbagai acara seni persembahan boleh dianjurkan di situ yang setaraf dengan Istana Budaya di Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Pada festival itu, sebanyak 13 persembahan ditampilkan oleh peserta dari Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Filipina, Indonesia, China, Thailand dan Singapura dan lapan oleh wakil Malaysia.
Seramai 500 peserta telah berkampung di Kuching selama empat hari sejak 10 Ogos lepas untuk menjayakan acara berkenaan yang bertemakan “Let’s Do This”itu.
Untuk rekod, Sarawak telah menjadi tuan rumah bagi pelbagai acara muzik seperti Rainforest World Music Festival, Miri Country Music Festival, Borneo Jazz Festival dan Borderland Music Festival, Miri dan juga Konsert Malam Irama Sambutan Minggu Perpaduan 2023 bersempena Minggu Perpaduan Negara serta Konsert Rakyat bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Kehangatan muzik di Sarawak tidak berakhir kerana penganjuran Borneo Sonic Music Festival dan Hammersonic Festival serta Konsert Rakyat bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 bakal dianjurkan kelak pada tahun ini.- TVS.