LUNDU, 11 Ogos: Program Kembara Kraf Borneo pada Oktober depan diyakini menjadi platform untuk menghimpunkan golongan usahawan kraf dari Sarawak dan Sabah.
Timbalan Menteri perlancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan berkata selain mengentengahkan produk-produk kraf tangan tempatan dari dua negeri terbabit program itu turut menjadi ruang para usahawan meneroka pasaran baharu.
Menurutnya emajuan dalam industri kraf telah menjadi antara cabang penting dalam MOTAC yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada pengusaha kraf tetapi juga sebagai salah satu elemen untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
“Itu sebabnya sekarang kita perlu menyelarikan semua usahawan-usahawan kraf kita dan kita tidak boleh lihat industri kraf ini sebagai industri yang tidak penting.
“Apabila kita sudah menyelarikan usahawan-usahawan kraf kita tersebut kita barulah kita melihat dan meneroka bagaimana kita boleh memperhebatkan pemasaran hasil-hasil kraf kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Sematan di Dataran Sematan di sini pada Jumaat.
Menurut Khairul, usaha untuk mengangkat serta mengetengahkan kraf tangan borneo memerlukan pendekatan yang berbeza berdasarkan lokasi dan keunikan sesuatu hasil kraf tangan tersebut.
Malah MOTAC katanya turut menjalin hubungan kerjasama bersama Royal Selangor bagi mempelajari kaedah-kaedah yang boleh diguna pakai dalam usaha untuk mempromosi, memasarkan dan memperkasakan industri kraf tradisional ini termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Ia kerana organisasi tersebut bukan sahaja sudah dikenali di Malaysia malah ia turut dikenali diperingkat antarabangsa,” ujarnya. -TVS