KUCHING, 11 Ogos: Program realiti terbaharu TVS, ‘Crocodile Byte’ yang akan mula disiarkan pada 14 Ogos ini menjadi platform untuk mengembangkan ekosistem syarikat pemula di Sarawak dalam pelbagai sektor yang berasaskan teknologi dan inovatif.
Menurut Pengurus Besar Inovasi dan Keusahawanan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Hazwan Razak, rancangan berkenaan menghubungkan syarikat pemula dan pelabur luar untuk berinteraksi serta meraih kepercayaan dalam dunia perniagaan.
“Sasaran kami rancangan ‘Crocodile Byte’ dapat membuka mata pelabur-pelabur bahawa ekosistem digital dan inovasi di Sarawak ini mempunyai syarikat pemula yang mempunyai potensi tinggi untuk berjaya dan berkembang pesat.
“Menerusi rancangan ini juga, kita juga menaruh harapan agar lebih banyak syarikat pemula menyedari bahawa memang ada pelabur yang ingin melakukan pelaburan.
“Itu yang kami nak ketengahkan cuma mereka harus berani untuk mengorak langkah dengan menubuhkan syarikat dan kita akan beri sokongan dan bantuan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Mengulas lanjut, Hazwan berkata pemilihan 14 syarikat pemula dalam rancangan berkenaan dibuat oleh SDEC dengan kesemua syarikat mempunyai potensi perniagaan yang tinggi dan mampu menjana keuntungan.
Jelas beliau, syarikat pemula yang terlibat terdiri daripada syarikat dalam sektor e-dagang, pertanian, bioteknologi, perkhidmatan perisian dan pendidikan.
“Kami berharap daripada 14 itu, ada antara mereka akan mendapat pelaburan daripada panel-panel (pelabur) kerana kami telah memilih syarikat berpotensi tinggi untuk dilaburkan dan kami telah mempelawa ahli panel yang merupakan pelabur berpengalaman dan benar-benar ingin melakukan pelaburan,” ujarnya.
Untuk rekod, rancangan yang terdiri enam episod itu diterbitkan dengan kerjasama SDEC dan Creative Heritage & Innovation Community (CHIC) pada setiap Isnin pukul 8.45 malam. – TVS