KUCHING, 10 Ogos: Jumlah pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 16 tahun di Sarawak yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah menunjukkan trend penurunan.
Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini berdasarkan statistik pada 2019, 2020 dan tahun lepas.
“Pada 2019, jumlah pelajar positif dadah seramai 274 orang dan menurun kepada 141 tahun berikutnya.
“Pada 2022 pula, rekod kita menunjukkan jumlah pelajar terlibat ialah seramai 116 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Penyerahan Poster Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDA) kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Pada tahun ini pula sehingga Julai lepas, Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, hanya 12 kes membabitkan kumpulan berkenaan dikesan.
“Ini menunjukkan bahawa usaha kita berhasil,” ujarnya.
Sehubungan itu kata beliau Kerajaan Sarawak akan terus komited membenteras aktiviti penyalahgunaan dadah dengan kerjasama pelbagai pihak seperti PEMADAM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pendekatan secara holistik dan inklusif perlu ditekankan untuk melibatkan komuniti serta kerjasama pelbagai pihak bagi membentuk komuniti yang aktif dan berdaya saing dan seterusnya mewujudkan kualiti persekitaran sekolah yang aman dan selamat,” katanya.
Pada majlis itu, PEMADAM Sarawak menyumbang sebanyak RM 40,577 kepada sekolah-sekolah yang memohon peruntukan bagi menjayakan program dan aktiviti membanteras penyalahgunaan dadah di seluruh Sarawak.
Sebanyak 1,500 set poster telah diagihkan kepada semua sekolah dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar sekolah menengah di sini. -TVS