MIRI, 10 Ogos: Pemain industri perlu mengaplikasi teknologi terkini dalam memaksimumkan sumber minyak kelapa sawit dan tidak hanya memfokuskan kepada pengeluaran minyak sawit mentah dan isirung sawit sahaja.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Martin Ben berkata, minyak sawit juga boleh menghasilkan produk lain seperti biogas yang boleh dijadikan sebagai sumber tenaga.
“Saya ingin menggalakkan semua pemain industri memaksimumkan pengurusan bahan mentah daripada sumber kelapa sawit dan tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran minyak sawit mentah dan isirung sawit.
“Salah satu keluaran minyak sawit adalah biogas yang boleh ditapis menjadi satu jika produk atau tenaga sawit yang berharga.
“Jadi selain daripada pengurusan dan pengeluaran yang betul, pemain industri perlu mengetahui teknologi terkini dalam memaksimumkan sumber daripada minyak kelapa sawit,” katanya demikian semasa Majlis Penutupan Pameran dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (POMtec) di Hotel Imperial, pada Rabu.
Dalam pada itu beliau menambah, Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) akan menghasilkan makanan haiwan daripada bahan mentah tempatan melalui Loji Penghancur Kernel yang akan dilancarkan pada tahun hadapan.
“Pada masa ini, Kerajaan Sarawak sedang mengambil inisiatif untuk menghasilkan makanan haiwan daripada bahan mentah tempatan. SALCRA merancang untuk mengeluarkan makanan haiwan berasaskan kelapa sawit dengan menubuhkan Loji Penghancur Kernel di Lubok Antu di Bahagian Sri Aman. Kilang ini dijangka memulakan pengeluaran pada suku keempat 2024,” ujarnya.
SALCRA bersama syarikat swasta tempatan juga sedang meneroka untuk membiak lalat Black Soldier Fly (BSF) menggunakan kek ‘decanter’ kelapa sawit kerana larva BSF diiktiraf kaya protein dan akan digunakan sebagai ramuan yang dirumus dengan dedak isirung sawit (PKE) untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan.
SALCRA menyasarkan mengeluarkan 100 ribu tan metrik setiap tahun makanan haiwan ternakan berasaskan sawit yang dirumus menjelang tahun 2026, menyumbang sekitar 10 peratus atau RM214 juta kepada jumlah keperluan makanan haiwan ternakan Sarawak bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import dan menstabilkan harga makanan haiwan di Sarawak. – TVS