MIRI, 9 Ogos: Industri kelapa sawit Malaysia memerlukan kerjasama daripada pakar serta pemain industri luar negara bagi mengukuhkan kedudukan industri itu di peringkat global.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, hal itu sekali gus membuktikan kerajaan berada pada landasan serta melaksanakan kaedah yang betul untuk meningkatkan industri kelapa sawit.
“Komuniti Kesatuan Eropah (EU) tidak boleh berhenti memandang rendah kita selagi mereka fikir kita lemah. Satu-satunya cara untuk kita didengari adalah dengan suara yang lebih kuat.
“Kita perlu berganding bahu dengan negara lain atau sesama kita untuk terus memperjuangkan kebenaran. Sebab tidak kira apa kita lakukan, mereka akan mengatakan bahawa kita melakukan cara yang salah.
“Kebenaran akan menang tetapi harap bersabar dan jangan berputus asa. Kita akan berusaha membuktikan bahawa industri kelapa sawit di negara kita adalah kukuh,” katanya demikian semasa Majlis Makan Malam Gala Pameran dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (POMTEC) 2023 di Hotel Imperial, pada Selasa.
Jelas beliau dalam usaha mengumpul fakta, golongan saintis, penyelidik dan institusi diperlukan selain melakukan perbincangan bersama dengan negara jiran yang juga terlibat sama di dalam industri kelapa Sawit.
“Kita memerlukan saintis, penyelidik dan institusi baik yang boleh membantu kita membuat rancangan. Bagaimana fakta dimanipulasi oleh yang kuasa yang lebih besar.
Berjuang secara fakta, jangan hanya melawan dan mengatakan apa sahaja secara emosi. Kita cuba mendapatkan orang yang mahir dalam industri kelapa sawit seperti Indonesia dan sebagainya serta jalinkan kerjasama supaya kita dapat bersuara lebih lantang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Stephen memberitahu kementeriannya juga akan terus melakukan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta, mengadaptasi teknologi baharu dalam pekerjaan dan memberi latihan kepada generasi muda dalam industri pertanian.
Stephen berharap dengan usaha yang dilakukan itu akan dapat membantu menaik taraf kehidupan golongan petani terutamanya daripada golongan B40 dan mereka yang berada di luar bandar. -TVS