KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Kuala Lumpur (KL) City FC gagal membalas dendam kekalahan 1-3 kepada jiran mereka, Selangor FC pada April lepas dan sekali lagi tewas 0-2 pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya malam tadi.
Skuad Gergasi Merah yang jelas mendominasi babak pertama membuka tirai jaringan selepas tampanan bola tidak kemas penjaga gol KL City Kevin Ray Mendoza di dalam kotak penalti dihukum Harith Haiqal yang menyepak masuk bola yang muntah itu pada minit ke-32.
Bersambung babak kedua, Selangor terus menambah duka buat KL City selepas bola hasil rembatan dalam kotak penalti Mukhairi Ajmal terkena kaki pemain pertahanan pasukan pelawat, Matko Zirdum sebelum melantun masuk ke dalam gawang KL pada minit ke-76.
Asakan demi asakan dilakukan kedua-dua pasukan untuk mencari gol tambahan hingga ke wisel penamat dan keputusan kekal 2-0 memutlakkan kemenangan buat Selangor pada derbi Lembah Klang malam tadi.
Keputusan derbi itu menyaksikan Selangor kekal menghuni tangga kedua dengan mengumpul 43 mata manakala KL City di tangga ketujuh dengan 28 mata.
Sementara itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Pasukan tuan rumah mendahului seawal minit ketiga menerusi penyerang import Nigeria, Ifedayo Olusegun.
Gol terhasil daripada balingan bola Muhammad Arif Farhan yang jatuh di hadapan Ifedayo di dalam kotak penalti sebelum beliau mudah menolak masuk bola menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Mohd Izham Tarmizi Roslan.
KDA terus selesa mendahului pada minit ke-41 menerusi jaringan J. Partiban yang menolak masuk bola biasan sepakan deras rakan sepasukan Manuel Hidalgo.
Bersambung babak kedua permainan, kedua-dua pasukan saling membuat serangan berbahaya, namun tiada jaringan dapat dihasilkan sehingga wisel penamat ditiup.
Dalam pada itu, Kelantan United gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas tewas 1-4 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Skuad Penyu lebih mendominasi permainan dengan mencetak gol menerusi Ivan Mamut pada minit ke-28, Sony Norde (minit ke-73), Nik Sharif Haseefy (minit ke-84) dan Hakimi Abdullah (minit ke-90+) manakala Kelantan United memperoleh gol tunggal menerusi Ismahil Akinade (minit ke-86). – TVS