KUCHING, 9 Ogos: Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan hasratnya untuk terus menabur bakti kepada Sarawak sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
“Saya ingin menyumbang bakti, dalam sisa-sisa kehidupan saya kepada negeri Sarawak,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Sempena Program Interaksi dan Kesyukuran atas Pemasyhuran Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Selasa.
Wan Junaidi yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sangat aktif dalam memperjuang hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang perkhidmatannya.
Beliau juga merupakan satu-satunya menteri yang telah meminda Perlembagaan Malaysia sebanyak tiga kali dalam masa satu penggal.
Sementara itu, antara sebab lain adalah setelah melihat matlamat dan wawasan futuristik yang dimiliki oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mentadbir Bumi Kenyalang.
Beliau berkata Abang Johari memiliki pandangan yang jauh ke hadapan dalam menerajui Sarawak.
“Kita lihat Sarawak di bawah kepimpinan Premier sekarang, dinamiknya jauh berbeza daripada apa yang pernah kita lihat sebelum ini,” katanya.
Tambahnya di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak kini sedang giat mewujudkan pekerjaan untuk rakyatnya di masa hadapan.
“Sarawak sedang menilai pekerjaan (baharu) untuk masa depan rakyatnya. Apa yang tinggal adalah untuk semua rakyat negeri ini memberikan tumpuan dalam memenuhi keperluan yang telah diilhamkan oleh Premier,” katanya.
Beliau turut teruja melihat pembangunan negeri ini adalah seperti yang dibayangkan pada 2015 lalu. -TVS