Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Selepas ini, Jabatan Penjara Malaysia akan menawarkan kelas belajar menenun songket di Pusat Koreksional Bintulu. Foto TVS.

Kelas tenunan songket di tirai besi diperluaskan, manfaatkan tahanan

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 9 Ogos: Bagi memperkasa kemahiran banduan serta meningkatkan penghasilan produk kraf, pelbagai perancangan telah disusun oleh Jabatan Penjara Negeri Sarawak.

Ini sejajar dengan titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mahukan tahanan di penjara seluruh Sarawak menghasilkan produk kraf berbeza.

Songket dihasilkan penghuni lelaki di Penjara Puncak Borneo tarik minat Permaisuri Agong

Buat masa ini, bengkel menenun songket hanya terdapat di Penjara Puncak Borneo Kuching (PPBK).

Selepas ini, inisiatif berkenaan akan turut diperkenalkan di Pusat Koreksional Bintulu (PKBS).

Salah satu hasil tangan penenun di Penjara Puncak Borneo. Foto: Mohd Raffiq (TVS)

Inspektor Penjara, Sabestian Edward Chendang berkata, ke arah itu, beliau dan dua rakannya serta tiga orang tahanan PKBS telah dihantar ke PPBK untuk menjalani kursus dan latihan menenun songket sejak 15 Mei lalu.

“Kursus ini dijangka tamat pada 11 Ogos 2023,” katanya.

Sementara itu, wadar penjara, Joovitas Masingka berkata, pada mulanya beliau meragui kemampuan sendiri untuk menjadi tenaga pengajar namun kini lebih yakin selepas menjalani kursus berkenaan.

“Saya boleh terima modul yang diajar dengan lebih baik walaupun sebenarnya tiada pengalaman.

“Banduan dan pegawai penjara di sini banyak membantu,” jelasnya yang berasal dari Sabah.

Joovitas pada masa sama turut berharap agar banduan yang terpilih untuk menyertai bengkel menenun songket di PKBS akan memanfaatkan peluang yang diberikan itu dengan sebaik mungkin.

“Mereka perlu belajar kerana ilmu ini susah didapati di luar dan perlu hargainya kerana mungkin boleh digunakan selepas dibebaskan kelak,” katanya. 

Rekaan pada kain songket ini merupakan idea asal penenun dari Penjara Puncak Borneo. Foto: Mohd Raffiq (TVS)

Koperal Penjara Muhammad Nazrin Jem pula berkata, pada mulanya sukar untuk beliau membiasakan jari jemari dengan pelbagai benang halus.

“Namun dengan penghayatan serta niat yang betul, proses tersebut pasti akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Jelas Muhammad Nazdrin, beliau juga berasa bertanggungjawab terhadap warisan budaya masyarakat Melayu itu.

“Songket ini merupakan tradisi untuk Sarawak. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kita tidak tahu bagaimana keadaan pada masa akan datang. Apakah anak-anak kita nanti akan mewarisi teknik-teknik menyongket ini? ,”soalnya.

Pada 2019, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kementeriannya bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk mengadakan bengkel tenunan songket Sarawak kepada banduan.

Fatimah turut optimis projek tersebut akan berjaya sebagai salah satu usaha melengkapkan banduan dengan bidang kemahiran.

Inisiatif ini juga diharap dapat membuka peluang kepada penghuni penjara untuk menggunakan kemahiran serta menjana pendapatan selepas selesai menjalani penahanan dan pemulihan di penjara. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan