SARIKEI, 7 Ogos: Seorang maut manakala dua lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan pikap ketika sedang berteduh di sebuah perhentian bas di Kilometer 25, Jalan Sebangkoi, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 12.01 tengah hari sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda itu masih tersepit di tempat duduk pemandu.
“Kita berusaha mengeluarkan mangsa dengan peralatan khas dan sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans dari Hospital Saratok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki yang meninggal berusia 39 tahun dalam insiden berkenaan dipercayai salah seorang mangsa yang sedang berteduh di perhentian bas itu.
Sementara dua lagi yang cedera katanya, dikejarkan ke Hospital Sarikei sebelum ketibaan pihak Bomba.
Mahmudin berkata, insiden kira-kira jam 11.55 pagi dipercayai berlaku ketika semua mangsa yang menaiki motosikal sedang berteduh sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai dari arah Saratok menghala ke Sarikei.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. – TVS