Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PDPR Turut Diambil Kira Sebagai Komponen Penilaian UPKK – KP JAKIM

ByBernama

PUTRAJAYA: Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut diambil kira sebagai salah satu komponen penilaian Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang dinilai oleh guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sekolah masing-masing, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Beliau yang mengulas keresahan ibu bapa berkaitan pelaksanaan UPKK bagi calon tahun 2020 dan 2021 yang dilaksanakan secara serentak pada tahun ini berkata setiap subjek yang dirangka dalam kurikulum UPKK turut merangkumi aspek penghayatan dan amalan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

“Malah, ia tidak terikat dengan pelaksanaan peperiksaan semata-mata, tetapi menjadi sebahagian daripada amalan fardhu ain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Nov 2020, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata ujian UPKK tahun 2020 akan dilakukan serentak dengan UPKK tahun ini iaitu dari 4 hingga 7 Okt ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata UPKK mempunyai lapan subjek yang terdiri daripada dua subjek amali, satu subjek ujian lisan dan lima subjek bertulis.

Bagi dua subjek penilaian amali iaitu Mata Pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam, penilaian telah bermula dari awal takwim persekolahan tahun 2021.

“Ia berdasarkan penilaian sepanjang sesi persekolahan termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengambilkira ujian bulanan dan aktiviti dalam dan luar bilik darjah.

“Selain itu, PdPR turut diambil kira sebagai salah satu komponen penilaian UPKK, yang dinilai oleh Guru KAFA sekolah masing-masing,” katanya.

Abdul Aziz berkata bagi Mata Pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran akan dinilai oleh guru KAFA sekolah masing-masing yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 30 Sept ini.

Sementara, lima subjek bertulis iaitu Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab Kertas 1 & 2 dan Lughatul Quran akan dilaksanakan pada 4 hingga 7 Okt ini.

“Sukacita dinyatakan, lima subjek bertulis tersebut bukan hanya peperiksaan bertulis semata-mata,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, UPKK masih kekal relevan dan ia terbukti dengan pertambahan jumlah calon yang menduduki ujian tersebut.

Abdul Aziz berkata dengan mengambil kira tempoh masa yang ada, pelaksanaan ujian bertulis UPKK masih mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan.

Menurutnya, perkara ini akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu yang telah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara pada 9 Jun 2021, berdasarkan ulasan serta pandangan yang telah dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM).

“JAKIM sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan COVID-19 di negara ini khususnya dari aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama semua agensi terlibat telah menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya demi memastikan pelaksanaan UPKK tahun 2021 berjalan lancar.

“Penilaian terhadap murid juga boleh dibuat melalui pelbagai kaedah termasuk dari aspek kaedah pelaksanaan UPKK. Justeru, JAKIM sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan