Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sahat (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada Dr Ripin (empat kiri) disaksikan Dr Abdul Rahman (lima kiri) dan tetamu lain. Foto: TVS

Dokumentasikan kebudayaan Kedayan agar tidak hilang ditelan zaman

LIMBANG, 6 Ogos: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menggalakkan sebarang usaha pengusaha industri kreatif, individu, persatuan dan kumpulan etnik untuk mendokumentasikan dan memfilemkan kebudayaan masyarakat Kedayan di negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, budaya masyarakat Kedayan yang unik dan mempunyai keistimewaannya itu perlu ditonjolkan agar tidak hilang ditelan zaman.

Dr Ripin (empat kiri), Dr Abdul Rahman (enam kiri) dan tetamu lain bergambar bersama Kampung Agong Tua yang muncul johan pertandingan junjung (pondok). Foto: TVS

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan mahu belia-belia Kedayan mengambil peluang untuk menonjolkan dan meluaskan lagi seni kreatif dan warisan kebudayaan mereka melalui platform media sosial.

“Saya menyeru kepada para belia hari ini terutamanya belia-belia masyarakat Kedayan, ambillah peluang ini untuk mengekalkan dan juga meluaskan lagi seni kreatif ataupun warisan kebudayaan masyarakat Kedayan.

“Saya melihat sebahagian daripada aktiviti kebudayaan masyarakat Kedayan boleh difilemkan atau dibuat satu dokumentari melalui platform media sosial untuk tayangan masyarakat umum.

“Namun demikian perlu ada individu, persatuan atau kumpulan yang mengusahakan perkara ini, dan kita di kementerian amat mengalu-alukan dan menyokong usaha-usaha begini,” katanya pada Majlis Perasmian Makan Tahun Perdana 2023 di Dewan Kampung Pabahanan, Limbang hari ini.

Teks ucapannya dibaca Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dr Ripin Lamat yang mewakili beliau di majlis itu.

Jelas Abdul Karim lagi, kementeriannya mempunyai peruntukan dan dana untuk membantu pengusaha industri kreatif di Sarawak mengembangkan seni kreatif termasuk mendokumentasikan kebudayaan etnik Kedayan ini.

“Ada usaha-usaha untuk memfilemkan atau merekodkan seni kebudayaan masyarakat Kedayan, pihak kementerian menyokong dan kita juga mempunyai peruntukan di bawah Dana Industri Kreatif Belia Sarawak untuk membantu industri-industri kreatif contohnya dari segi pakaian tradisional, kraf daripada semua komuniti di Sarawak,” katanya lagi.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang (PKL), Penghulu Sahat Bagol, Ketua Kampung Pabahanan, Latif Sabli dan tetamu lain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan