KUCHING, 4 Ogos: Kerajaan Sarawak merancang untuk menjalinkan kerjasama pertukaran data mengenai penjagaan kesihatan dan perubatan dengan Johns Hopkins University di Amerika Syarikat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah meminta Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian merealisasikan kerjasama berkenaan dalam meningkatkan mutu penjagaan kesihatan.
“Sarawak kaya dengan biodiversitinya dan mungkin akan ada sesetengah ubat dari tumbuhan kita yang boleh menyembuhkan penyakit-penyakit baharu,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Kongres Saintifik Tahunan 2023 Persatuan Pakar Anestesiologi Malaysia (MSA) dan Kolej Anestesiologi (COA), Akademi Perubatan Malaysia, di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak amat menitikberatkan soal penjagaan kesihatan dengan menyediakan fasiliti seperti pusat kanser yang akan dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pada saya, ia adalah pelaburan yang berbaloi untuk kita menjaga kesihatan masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata kepakaran dalam bidang perubatan anestesia perlu ditingkatkan dalam usaha mencapai penjagaan kesihatan rakyat yang baik.
Ini kerana berdasarkan saranan Persekutuan Persatuan Ahli Bius Sedunia, lima pakar anestesia diperlukan bagi setiap 100,000 penduduk.
Ia juga selaras dengan anggaran Bahagian Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan mengenai sasaran pakar dalam Anestesiologi dan Penjagaan Kritikal: 1 hingga 20,000 pada 2025 dan 1 hingga 18,000 pada 2030.
“Kemerosotan jumlah ini bermakna cabaran terbesar untuk kita melatih lebih ramai lagi pakar. Kita perlu meningkatkan perkhidmatan penjagaan anestesia bagi memenuhi keperluan dalam bidang pembedahan.
“Kegagalan berbuat demikian akan mendatangkan implikasi dan mengehadkan akses kepada penjagaan kesihatan bagi pembedahan yang selamat,” katanya. – TVS