KUCHING, 3 Ogos: Barisan selebriti tempatan dan antarabangsa bakal mengayakan busana serta aksesori pereka fesyen tempatan Sarawak pada Malam Gala Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA), malam esok.
Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri berkata busana yang bakal disarung nanti berkonsepkan Ready-To-Wear (RTW) dengan padanan aksesori seperti beg atau ‘clutches’.
“Itu merupakan produk-produk yang dihasilkan oleh pereka tempatan, pelajar-pelajar CENTEXS dan juga komuniti di luar.
“Ada dalam kalangan selebriti ini yang akan memakai produk-produk tersebut pada malam gala, tidak semuanya tetapi ada antaranya. Kita sudah berurusan dengan pihak AIFFA sejak semalam,” katanya kepada TVS pada sesi kunjungan rasmi delegasi AIFFA 2023 di Juma’ani Pavilion, Vista Tunku, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu bercakap mengenai acara hari ini, Shahren optimis ia menjadi platform dalam mempromosikan produk Sarawak khususnya industri fesyen tempatan di mata dunia.
CENTEXS Commercial juga katanya terdahulu telah bekerjasama dengan pihak pengurusan Miss International Sarawak 2023 dengan melantik beberapa peserta dan pemenang sebagai duta produk-produk warisan Sarawak.
Pada Khamis, pemenang dan finalis Miss International Sarawak 2023 telah memperagakan busana songket oleh pereka fesyen tempatan Dato Raymond Jolly, koleksi khas JUMA’ANI oleh Bulan Bintang dan juga keringkam daripada CENTEXS Commercial.
Hadir sama, isteri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datin Melinda Claudia, Pengarah Eksekutif Produksi Seni Duapuluh-Duapuluh Sdn. Bhd, Dato’ Nancie Foo dan Penerbit Produksi Seni Duapuluh-Duapuluh Sdn. Bhd, Datin Dr. Wendy Wong.
Turut berlangsung sesi demonstrasi seni songket dan keringkam disusuli sesi minum petang bersama delegasi-delegasi yang hadir. – TVS