LAWAS, 3 Ogos: Atlet taekwondo kelahiran Lawas melakar kejayaan pada Kejohanan 6th Gewinn Malaysia Open Taekwondo Championship dengan mengutip pingat emas di South City Mall Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Muhd Baharuddin Aiman Bungsu, pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan mencipta sejarah itu menerusi acara High Jumping Front Kick kategori 12 tahun menundukkan saingan terdekatnya dari India.
Jurulatih merangkap Guru Besar SK Luagan Lawas, Rahim Rahman berkata, Kelab Taekwando Lawas telah menghantar seramai empat wakil iaitu dua orang pelajar dari SK Luagan dan dua pelajar, masing-masing daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Lawas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas.
Manakala dua lagi atlet taekwando Daerah Lawas turut mencipta kejayaan, Joel Loh Herr Seng dan Dolfaris Razman Dolmanan selepas menghadiahkan Sarawak pingat gangsa dalam acara Poomsee kategori 11 dan 15 tahun.
Rahim dalam pada itu menzahirkan perasaan bangganya kepada TVS hari ini berikutan kejayaan wakil Lawas di podium kebangsaan sekali gus mampu bersaing dengan atlet luar negara.
“Kejayaan ini diharap menjadi galakan dan pembakar anak-anak Lawas untuk terus mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Kita perlu ada kesungguhan untuk menjadi juara dan keyakinan diri yang tinggi dalam apa saja bidang yang ingin kita ceburi,” katanya lagi.-TVS