KUCHING, 3 Ogos: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kini sedang berehat dan akan kembali ke Sarawak dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, Tun Taib kini dalam proses pemulihan selepas jatuh sakit ketika bercuti di luar negara.
“Tun sekarang tengah berehat dan akan balik,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak, di sini pada Khamis.
Menyentuh perkara sama, Setiausaha Sulit Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Junih Salleh Ahmad berkata pihak Astana berharap rakyat bersabar dan tidak mudah terpedaya dengan berita dan spekulasi yang tidak dapat dipastikan mengenai kesihatan Tun Taib.
Menerusi kenyataan media, beliau berkata pihak Astana sedia maklum mengenai orang ramai yang mengutarakan persoalan tentang kesihatan Tun Taib.
Pada Rabu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mengeluarkan kenyataan bahawa keadaan semasa tidak memerlukan pelantikan pemangku Yang di-Pertua Negeri.
Katanya, walaupun tidak berada di dalam negeri, Tun Taib sentiasa berkomunikasi dengan Kerajaan Sarawak dan dapat melaksanakan tugas rasmi. – TVS