SIBU, 3 Ogos: Dua lelaki ditahan reman berhubung kes seorang lelaki ditembak mati di kebun pada malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata dua suspek berumur 36 dan 45 tahun itu ditahan pada malam Selasa.
“Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Sibu pagi semalam (Selasa) untuk perintah reman,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan kes tersebut hari ini.
Katanya, Mahkamah Sibu membenarkan kedua-dua suspek direman sehingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan polis yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ditanya lanjut mengenai motif pembunuhan itu, Zulkipli enggan mengulas kerana kes itu masih dalam siasatan.
Mangsa Pang Neng Hua, 46, ditembak mati di pintu pagar kebun keluarganya di Batu 9, Jalan Tuanku Abdul Rahman. – TVS