Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah menunjukkan senapang patah, hasil rampasan dari ‘Geng Piji’. Foto: TVS.

IPD Kuching tumpaskan Geng Jalil dan Geng Piji

KUCHING, 2 Ogos: Pasukan Khas ‘Counter Aggressive Team’ (CAT) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching menumpaskan dua kumpulan penjenayah iaitu ‘Geng Jalil’ dan ‘Geng Piji’ yang terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, operasi khas bermula 16 hingga 31 Julai lalu itu berjaya menangkap 25 suspek daripada ‘Geng Jalil’ dan ‘Geng Piji’ yang turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Menurut beliau, ‘Geng Jalil’ terdiri daripada 19 orang warga tempatan berumur lingkungan 14 hingga 49 tahun.

“Serbuan telah berjaya merampas sebuah kereta jenis Proton Saga, empat buah motosikal jenis Honda dan Modenas, dua batang anak kunci, sebilah parang, seunit kuku kambing, empat unit ‘cutter’ dan enam gulung kabel.

“Kumpulan ini aktif dalam kegiatan mencuri kenderaan, motosikal ataupun kereta dan seterusnya terlibat dalam mencuri kabel di kawasan daerah Kuching,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, di sini, pada Rabu.

Beliau menambah tangkapan dan rampasan dibuat merupakan hasil daripada maklumat dan serbuan di sembilan lokasi berbeza di kawasan Kuching sekali gus berjaya menyelesaikan lapan kertas siasatan dan empat daripadanya telah berjaya dituduh di bawah Seksyen 379, 411 dan 457 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi ‘Geng Piji’, Ashmon berkata enam ahlinya berumur 31 hingga 47 tahun terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan didapati mempunyai 29 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

“Ekoran daripada tumpasnya ‘Geng Piji’ yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di kawasan Kuching di tempat-tempat yang saya sebutkan tadi, pihak polis berjaya menyelesaikan keseluruhan 17 kes dengan tertumpasnya geng ini,” ujarnya.

Turut berjaya dirampas tambahnya sebuah kereta Proton Honda, sebatang anak kunci, selaras senapang angin buatan sendiri, selaras senapang patah dan sebelas butir peluru senapang patah.

Sebaik sahaja ‘Geng Piji’ tumpas, Ahsmon memberitahu enam kes berjaya diselesaikan dan satu daripadanya berjaya dituduh di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut ‘Geng Piji’ dipercayai turut terlibat dalam 11 kes yang disiasat di bawah Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi pusat kawalanIPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berdekatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan