KUCHING, 2 Ogos: Jurulatih baharu pasukan Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berdepan tugas getir dalam memperbaiki kedudukannya agar naik dari tangga ke-13 dalam Liga Super.
Dengan baki lapan perlawanan lagi, tugas itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan memandang pasukan itu kini berada di zon penyingkiran untuk terus beraksi di liga berkenaan musim hadapan.
Menurut Aidil, fokus beliau ketika ini adalah pemantapan pasukan daripada semua aspek termasuk persefahaman antara pemain, teknik latihan, kecerdasan, psikologi dan peningkatan moral pemain.
“Secara jujur, semua aspek pasukan perlukan perhatian dan peningkatan kerana bola sepak adalah mengenai peningkatan,” katanya ketika sidang media memperkenalkan jurulatih baharu Kuching City FC di sini, hari ini.
Menurutnya, bukan sahaja barisan pertahanan yang perlu diperbaiki tetapi barisan serangan perlu menjaringkan gol.
“Ia tidak mudah, namun saya percaya dengan komitmen, kerjasama dan usaha yang padu setiap pemain ditambah sokongan daripada pengurusan saya percaya keadaan akan bertambah baik,” ujarnya.
Aidil, yakin dapat membawa pasukan berkenaan keluar daripada zon penyingkiran walaupun hanya berbaki lapan perlawanan lagi.
Ia berdasarkan jurang antara setiap perlawanan yang memberikan ruang mencukupi untuk membentuk persefahaman dan kerjasama yang mantap antara para pemain. – TVS