BINTULU, 1 Ogos: Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Jalan Pesisir Bintulu-Samalaju dekat sini petang tadi.
Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Ativa dikenali sebagai Koh Boon Chuan, 23 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, Penolong Penguasa Bomba Hashim Norshidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.20 petang.
Sejurus itu katanya seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari BBP Samalaju dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pemandu kereta didapati tersepit di tempat duduk selepas dipercayai merempuh sebuah lori mengecat dan membaiki jalan raya di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas (RTA) Spreader Cutter dan Telescopic Ram.
“Mangsa telah diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya. -TVS