BATU KAWAN, 1 Ogos: Pembekal global terkemuka bagi teknologi dan perkhidmatan, Bosch berhasrat melabur kira-kira 350 juta Euro (RM1.62 bilion) sehingga 2030 bagi tapak pengeluaran back-end semikonduktor termaju di Asia yang dibina di Pulau Pinang.
Ahli Lembaga Sektor Mobiliti Bosch, Klaud Maeder berkata, dengan pembukaan kilang tersebut, syarikat itu akan terus memperkukuh perniagaan semikonduktor dan jejak pembuatannya secara sistematik untuk memenuhi permintaan cip global.
Ujar beliau, tapak pengeluran dia atas tanah berkeluasan 100,000 meter persegi berkenaan berperanan untuk pengujian akhir cip dan sensor automotifnya bagi cip yang dikeluarkan di kilang Bosch di Dresden, Jerman.
“Semikonduktor adalah kunci kejayaan semua bidang perniagaan Bosch.
“Tapak pengeluaran back-end ini merupakan komponen penting dalam strategi pertumbuhan kami dalam sektor mobiliti kerana kami bertindak balas terhadap peningkatan permintaan untuk semikonduktor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Tapak Pengeluaran Back-end Semikonduktor Bosch di sini yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Buat masa ini tapak pengeluaran berkenaan meliputi kira-kira 18,000 meter persegi yang merangkumi bilik bersih, ruang pejabat dan makmal dengan tawaran 400 pekerjaan.
Sementara itu, ujar Klaud, Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi pelaburan kerana tahap pengetahuan semikonduktor di negeri berkenaan yang tinggi selain memiliki tenaga kerja mahir.
“Kedudukannya yang berdekatan dengan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan adalah satu lagi kelebihan.
“Ia akan memendekkan masa dan jarak penghantaran untuk cip,” katanya lagi. – TVS