KUCHING, 1 Ogos: Kerajaan Sarawak berhasrat mewujudkan muzium dan galeri sejarah di beberapa bandar utama di negeri ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Perkara itu menurut beliau susulan pihaknya menerima banyak permohonan agar muzium dan galeri sejarah di buka di luar Kuching.
Abdul Karim menambah permohonan berkenaan susulan kejayaan Borneo Cultures Museum (BCM) sebagai destinasi pelancongan wajib dikunjungi.
“Kita (Sarawak) telah menerima banyak permohonan sejak pembukaan Borneo Cultures Museum pada tahun lalu. Terdapat juga permohonan membuka muzium di Bintulu dan Miri.
“Kita akan buka muzium di pelbagai lokasi,” katanya ketika merasmikan Seminar Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2023, di sini, hari ini.
Abdul Karim juga memaklumkan beliau telah menjalankan perbincangan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meluluskan pembiayaan bagi penubuhan muzium di negeri ini.
Terdahulu, beliau mengakui Kerajaan Sarawak merancang membuka beberapa lagi galeri sejarah agar generasi baharu mempunyai pengetahuan dan pendedahan tentang sejarah negeri dan menjadi destinasi pelancongan.
Abang Johari berkata rancangan berkenaan adalah untuk melengkapkan lagi galeri sejarah seperti Muzium Warisan Brooke Dockyard, Muzium Limbang, Rumah Sri Aman serta Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace.
Sementara itu, Rumah Rehat Sri Aman yang ditransformasikan kepada muzium untuk memperingati Deklarasi Keamanan (Deklarasi Sri Aman) akan dirasmikan pada Oktober ini.
Menurut beliau rumah rehat kerajaan lama itu yang merupakan lokasi deklarasi ditandatangani sedang dibaik pulih.
“Tahun ini adalah tahun ke-50 sejak perjanjian damai ditandatangani. Sebelum ini, ia adalah sebuah rumah rehat dan kita akan mengubahnya kepada muzium, ‘peace museum’,” katanya.
Deklarasi Sri Aman adalah perjanjian keamanan di antara kerajaan dan pengganas komunis, yang ditandatangani pada 21 Oktober 1973. -TVS