KUCHING, 1 Ogos: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan sambutan Ulang Tahun Bandaraya Kuching ke-35 di Tebingan Kuching, hari ini.
Meskipun dalam keadaan cuaca berjerebu, sambutan itu turut disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Sayeed Aman Ghazali dan Ketua Setiausaha Politik Premier, Fazzrudin Abdul Rahman.
Sambutan tahun ini menampilkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) selaku tuan rumah dengan tema selari dengan objektif Kerajaan Sarawak mengetengahkan kelestariaan alam sekitar yang mampan iaitu ‘Inklusiviti Komuniti ke arah Bandaraya Lestari’.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datu Junaidi Reduan mengingatkan aspek kebersihan Bandaraya ini amat ditekankan susulan selepas ini pelbagai acara menarik bakal berlangsung untuk merancakkan suasana sambutan.
“Antara acara yang akan diadakan adalah Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC), Kuching Got Talent, Kuching Food Festival, BandarayaKu Berselawat dan banyak lagi,” katanya sambil menambah acara dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Memetik contoh keadaan Padang Merdeka selepas Konsert Rakyat baru-baru ini, Junaidi mahu warga bandar raya ini mengambil peduli terhadap kebersihan Kuching.
“Alhamdulillah, habis sahaja acara tersebut, tapak acara (Padang Merdeka) dalam keadaan yang bersih dan ini menunjukkan kemajuan dari segi kesedaran kebersihan di Kuching,” ujarnya.
Turut hadir Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng. – TVS