SIBU, 31 Julai: Mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas ketika menjala ikan di Batang Rajang di kawasan berhampiran Tanjung Latap, dekat sini pada Ahad, ditemukan pagi ini.
Mayat Payau Meluda, 49, yang berasal dari Rumah Dana, Tanjung Latap dijumpai pada 10.53 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dikatakan lemas.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sibu, Penguasa Kanan Bomba Andy Alie berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bermula 6.55 pagi.
“Pasukan keluaran operasi yang menjalankan pencarian sekitar radius tiga kilometer dari lokasi kejadian menggunakan teknik ‘Swift Water Rescue’ dan ‘Grappling Iron’ secara berulang kali akhirnya berjaya menemui mangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Ahli keluarga mangsa mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dicari.
Andy berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan pada 11.30 pagi
Dalam kejadian sekitar 9.30 malam Ahad lalu, seorang saksi memberitahu, mangsa yang keluar menjala ikan di perairan Batang Rajang turun ke dalam air pada jarak 20 meter dari tebing sungai.
Ahli keluarga yang dimaklumkan menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan. – TVS