Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, menerima cenderamata daripada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bahagian Miri (JTAIM), Jamalie Busri. Foto: TVS

Masyarakat perlu dalami ilmu, tingkatkan taraf hidup – Awang Tengah

MIRI, 29 Julai: Ilmu pengetahuan merupakan penggerak kepada perkembangan kehidupan masyarakat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Justeru itu, beliau mengingatkan agar rakyat sentiasa mendalami ilmu pengetahuan untuk meningkatkan taraf hidup sekali gus mensejahterakan masyarakat.

“Membaca adalah jambatan ilmu dan kerana ilmulah yang akan meningkatkan darjat dan martabat insan di dunia ini. Melalui ilmu, manusia dapat menguasai dan menguruskan alam dan memanfaatkan segala nikmat kurniaan-Nya untuk kemudahan dan kesejahteraan manusia sejagat.

“Malahan ilmu juga adalah penggerak dan nadi utama kepada perkembangan kepada tamadun khususnya,” katanya pada  Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Miri 2023 di Masjid Darul Khairat di sini, pada Jumaat.

Peserta Tilawah mengalunkan bacaan Al-Quran. Foto: TVS

Selari dengan arus Revolusi Perindustrian 4.0, beliau mahu masyarakat sentiasa memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi, daya saing dan jati diri bagi menghadapi pelbagai cabaran akan datang terutamanya dalam perkembangan teknologi.

“Kita sedia maklum, dunia hari ini menyaksikan arus Revolusi Perindustrian 4.0, perkembangan teknologi yang begitu canggih, cepat dan kuat cabarannya. Kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut.

“Kita mesti lebih berinovatif, kreatif dan terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi, daya saing dan jati diri dalam membangun dan memajukan bangsa mengikut acuan kita sendiri,” ujarnya.

Selain meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang, Awang Tengah juga menekankan kepentingan mempertahankan perpaduan dalam kalangan masyarakat dalam usaha membangunkan dan memajukan Sarawak menjelang 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, semasa sesi penyerahan hadiah kepada salah seorang peserta. Foto: TVS

Terrdahulu, program yang berlangsung dua hari itu bermula pada 27 dan 28 Julai menyaksikan penyertaan sebanyak 12 qari dan qariah dari seluruh bahagian Miri yang telah berjaya ke peringkat bahagian setelah melalui peringkat daerah sebelum ini.

Majlis turut menyaksikan Tengah menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Jawatankuasa Masjid Darul Khairat untuk pihak masjid mengadakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat disekitarnya selain rumah ibadat.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan