KUCHING, 28 Julai: Seramai 142 jemaah haji kumpulan pertama dari Sarawak selamat pulang ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) sekitar 6 pagi, hari ini.
Ketibaan jemaah haji kumpulan pertama disambut oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha.
Beliau menzahirkan rasa syukur dengan kelancaran proses kepulangan jemaah haji kumpulan pertama yang dikendalikan oleh Tabung Haji (TH).
Tambahnya, TH juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam menguruskan perjalanan jemaah haji dari Sarawak.
“Kita bersyukur kepada Allah SWT jemaah haji kita dalam keadaan yang baik dan perjalanan ibadah mereka berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan jemaah haji Sarawak di KIA.
Tambahnya, seramai dua orang jemaah haji Sarawak telah meninggal dunia di tanah suci dan pihak Tabung Haji akan menziarahi keluarga jemaah haji yang meninggal untuk tahlil dan sebagainya.
“Saya dimaklumkan ada beberapa orang yang telah meninggal dunia di tanah suci. Pihak tabung haji akan pergi menziarahi keluarga mereka untuk tahlil dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru bakal jemaah haji akan datang supaya menghadiri kursus haji yang dianjurkan agar segala perjalanan semasa menunaikan haji menjadi lebih mudah dan lancar.
“Saya mohon kepada bakal jemaah haji agar menghadiri kursus haji. Rugi apabila pergi ke tanah suci kita tidak lengkap dengan ilmu kerana ilmu tersebut akan membantu kita agar tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan,” ujarnya.
Untuk rekod, pada kali ini seramai 936 jemaah haji berbanding 397 jemaah haji tahun lalu dari negeri Sarawak yang telah terpilih menunaikan ibadah haji.
Turut hadir sama Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah Sarawak, Datin Nurlaila Said. – TVS